Saifuddin Abdullah

Menyelami Partisipasi Politik Belia

Posted on: Julai 1, 2009

Pada 4 Julai 2009, genaplah 100 hari saya menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Dalam tempoh itu, tema utama yang saya bincangkan ialah partisipasi belia dalam politik. Antara topik yang sering timbul ialah sokongan belia terhadap BN, Presiden US Barack Obama dan calon Presiden Iran Mir Hossein Mousavi, serta politik kampus.

Perbincangan ini timbul melalui pelbagai cara: dalam mesyuarat, dialog dengan khalayak ramai, diskusi kumpulan kecil, sembang petang yang santai, e-kumpulan, emel, laman web, blog, facebook dan sebagainya.

Di sebalik segala perbincangan tersebut, saya berpendapat bahawa kita belum memahami sepenuhnya realiti sebenar partisipasi politik di kalangan belia. Setakat keputusan satu pilihan raya umum serta kajian dan statistik yang terhad, walaupun ia dapat menerangkan sebahagian daripada apa yang telah berlaku, tetapi ia tidak dapat menerangkan secara tepat akan kedudukan dan realiti sebenar pada masa hadapan.

Bagaimanakah belia kita melihat politik? Bagaimanakah mereka mendekati dan melibatkan diri dalam dunia politik? Di kalangan mereka, kumpulan manakah yang terlibat dalam politik secara aktif? Dan apakah iklim pembelajaran dan struktur peluang yang dapat memupuk partisipasi mereka dalam politik?

Dalam perbincangan tersebut, saya merujuk beberapa buah kajian yang pernah dilakukan di sini, misalnya oleh Merdeka Centre, dan di luar negara, misalnya oleh Spannring R., Ogris G. dan Gaiser W. (Ed), (2008), Youth and Political Participation in Europe.

Kita perlu bermula dengan memahami erti partisipasi. Ia berasal daripada perkataan Latin “pars” yang bermakna “bahagian” dan “capere” yang bermakna “mengambil”. Ia membawa maksud mengambil bahagian, melibatkan atau menceburkan diri dan berkongsi. Partisipasi dipengaruhi oleh, dan juga mempengaruhi, struktur, proses dan sumber tertentu. Matlamat akhirnya ialah perubahan sosial, iaitu melalui dan oleh para pelakunya.

Partisipasi berlaku dalam proses dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas; dalam pelbagai bidang seperti sosial, ekonomi dan politik; dalam pelbagai peringkat seperti individu dan berkumpulan, formal dan tak-formal, tempatan dan kebangsaan serta serantau dan antarabangsa.

Partisipasi politik pula boleh dilihat daripada pelbagai pendekatan dalam teori demokrasi. Antaranya ialah pendekatan realis yang berasaskan perwakilan dan pemerintahan elit demokratik dan melihat demokrasi bukan sebagai pemerintahan oleh rakyat tetapi sebagai pemerintahan oleh politikus yang mendapat persetujuan rakyat. Aktiviti utama partisipasi rakyat ialah pengundian dalam pilihan raya. Selepas itu, rakyat hanya menjadi penonton sahaja.

Sebaliknya, terdapat pula pendekatan normatif yang melihat partisipasi bermatlamat bukan sahaja untuk mempertahankan fungsi institusi demokrasi, tetapi juga untuk memantau perlakuan elit politik. Ia memerlukan partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik, termasuk dalam bentuk demokrasi langsung (direct democracy).

Partisipasi belia mula mendapat pengiktirafan terutamanya sejak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, di mana partisipasi menjadi temanya. Sepuluh tahun kemudian, ia mula diiktiraf sebagai mempunyai konotasi politik apabila dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond menggunakan frasa “partisipasi penuh dan aktif dalam membuat keputusan”.

Pada masa yang sama, selaku Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, saya menulis gagasan “penghakupayaan belia” (youth empowerment) yang kemudiannya digunakan dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), Program Belia Komanwel (1998) dan Persidangan Pertama Menteri Belia SeDunia (1998).

Ketika menutup rasmi Forum Belia Ke-3 sempena Persidangan Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 di Kuala Lumpur baru-baru ini, saya menggesa ketua-ketua negara anggota pertubuhan itu supaya melipatgandakan penghakupayaan belia sebagai salah satu pendekatan bagi memperkasa partisipasi belia, termasuk dalam politik.

Pra-syarat bagi kefahaman terhadap partisipasi belia dalam politik ialah dengan mengiktiraf tiga permintaan utama belia, iaitu: belia mahu suaranya didengar, belia mahu peranannya diiktiraf, dan belia mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasi mereka.

Selanjutnya, kita perlu menyelami partisipasi politik belia dalam empat keadaan. Pertama, ialah hubungan belia dan politik yang bersifat multi-dimensi. Apakah keadaan sosial dan politik semasa dan setempat serta pandangan belia terhadap politik?

Di sebalik segala faktor yang membentuk sistem politik sedia ada serta hubungan antara politik dan rakyat, yang lazimnya kita fahami, di sana terdapat faktor-faktor yang spesifik yang mempengaruhi pendekatan belia terhadap politik, yang lazimnya kurang kita fahami. Faktor-faktor itu ada kaitannya dengan status mereka sebagai warganegara dan anggota masyarakat serta kedudukan mereka dalam pusingan kehidupan mereka sendiri.

Belia mempunyai ideal dan pengharapan yang amat kompleks dan berbeza-beza antara seorang dengan yang lain. Sebahagian daripada mereka mempunyai perasaan ketidakpuasan, ketidakperluan dan ketidaklibatan yang sebenarnya mencerminkan kelemahan demokrasi moden dan kegagalan kita mengintegrasikan mereka dalam arus perdana masyarakat dan negara.

Kedua, ialah bentuk, makna dan alasan belia untuk berpartisipasi dalam politik. Apakah caranya belia berpartisipasi dengan aktif dalam politik dan bagaimanakah mereka menilai pelbagai bentuk partisipasi politik?

Persepsi mereka mencerminkan imej politik yang dilihatnya dan pengalaman politik yang pernah dilaluinya. Sebahagian daripada mereka pernah melalui pengalaman parti politik tradisional yang lebih menutup daripada membuka ruang untuk pertukaran dan perkongsian idea serta pembentukan komuniti dan budaya politik yang bersih lagi segar.

Kerana itu, ada di antara mereka yang lebih berminat dengan bentuk partisipasi individu, misalnya komunikasi politik (seperti menggunakan IT) dan protes. Mereka hanya taat terhadap nilai-nilai yang dianutinya sendiri sahaja dan tidak mahu tunduk kepada matlamat dan kaedah mana-mana parti atau organisasi. Self-expression dianggapnya sebagai pilihan partisipasi politik yang paling berkesan.

Ketiga, ialah mengenalpasti bagaimana belia belajar tentang partisipasi politik. Apakah peranan dan keberkesanan ibu bapa, rakan sebaya dan pendidikan formal terhadap partisipasi politiknya?

Sistem pendidikan mempunyai impak yang terbesar jika ia benar-benar memberikan ilmu politik serta peluang berpartisipasi dalam proses demokratik melalui kokurikulum yang mantap. Ini termasuk melalui struktur formal seperti pertubuhan dan gerakan pelajar/mahasiswa dan pilihan raya kampus atau struktur takformal seperti perbincangan dengan guru/pensyarah dan rakan-rakan. Di samping itu, terdapat juga pembelajaran melalui keanggotaan dalam pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Dan keempat, ialah kesaksamaan gender, iaitu dari segi partisipasi belia wanita. Adakah belia wanita mempunyai kefahaman dan amalan politik yang sama atau berbeza daripada belia lelaki?

Kita perlu memantau dan menilai pandangan dan pilihan partisipasi belia wanita yang seimbang dengan belia lelaki. Jurang antara partisipasi belia wanita dengan belia lelaki kelihatan semakin kecil, tetapi, fenomena siling kaca dalam parti politik masih besar.

Kesimpulannya, belia mempunyai imaginasi tersendiri terhadap partisipasinya dalam politik. Cara, corak dan citra politiknya mungkin berbeza dengan kita. Kita perlu menyelami minda mereka bukan sahaja untuk memperbaiki kefahaman kita, tetapi lebih penting lagi ialah untuk menghakupayakan mereka agar dapat mengoptimumkan potensi politik mereka.

1 Response to "Menyelami Partisipasi Politik Belia"

Such an insight Datuk. Took me a few minutes to read them all, but truly great insights!

Tinggalkan komen

Julai 2009
I S R K J S A
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031