Saifuddin Abdullah

Pada 4 Julai 2009, genaplah 100 hari saya menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Dalam tempoh itu, tema utama yang saya bincangkan ialah partisipasi belia dalam politik. Antara topik yang sering timbul ialah sokongan belia terhadap BN, Presiden US Barack Obama dan calon Presiden Iran Mir Hossein Mousavi, serta politik kampus.

Perbincangan ini timbul melalui pelbagai cara: dalam mesyuarat, dialog dengan khalayak ramai, diskusi kumpulan kecil, sembang petang yang santai, e-kumpulan, emel, laman web, blog, facebook dan sebagainya.

Di sebalik segala perbincangan tersebut, saya berpendapat bahawa kita belum memahami sepenuhnya realiti sebenar partisipasi politik di kalangan belia. Setakat keputusan satu pilihan raya umum serta kajian dan statistik yang terhad, walaupun ia dapat menerangkan sebahagian daripada apa yang telah berlaku, tetapi ia tidak dapat menerangkan secara tepat akan kedudukan dan realiti sebenar pada masa hadapan.

Bagaimanakah belia kita melihat politik? Bagaimanakah mereka mendekati dan melibatkan diri dalam dunia politik? Di kalangan mereka, kumpulan manakah yang terlibat dalam politik secara aktif? Dan apakah iklim pembelajaran dan struktur peluang yang dapat memupuk partisipasi mereka dalam politik?

Dalam perbincangan tersebut, saya merujuk beberapa buah kajian yang pernah dilakukan di sini, misalnya oleh Merdeka Centre, dan di luar negara, misalnya oleh Spannring R., Ogris G. dan Gaiser W. (Ed), (2008), Youth and Political Participation in Europe.

Kita perlu bermula dengan memahami erti partisipasi. Ia berasal daripada perkataan Latin “pars” yang bermakna “bahagian” dan “capere” yang bermakna “mengambil”. Ia membawa maksud mengambil bahagian, melibatkan atau menceburkan diri dan berkongsi. Partisipasi dipengaruhi oleh, dan juga mempengaruhi, struktur, proses dan sumber tertentu. Matlamat akhirnya ialah perubahan sosial, iaitu melalui dan oleh para pelakunya.

Partisipasi berlaku dalam proses dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas; dalam pelbagai bidang seperti sosial, ekonomi dan politik; dalam pelbagai peringkat seperti individu dan berkumpulan, formal dan tak-formal, tempatan dan kebangsaan serta serantau dan antarabangsa.

Partisipasi politik pula boleh dilihat daripada pelbagai pendekatan dalam teori demokrasi. Antaranya ialah pendekatan realis yang berasaskan perwakilan dan pemerintahan elit demokratik dan melihat demokrasi bukan sebagai pemerintahan oleh rakyat tetapi sebagai pemerintahan oleh politikus yang mendapat persetujuan rakyat. Aktiviti utama partisipasi rakyat ialah pengundian dalam pilihan raya. Selepas itu, rakyat hanya menjadi penonton sahaja.

Sebaliknya, terdapat pula pendekatan normatif yang melihat partisipasi bermatlamat bukan sahaja untuk mempertahankan fungsi institusi demokrasi, tetapi juga untuk memantau perlakuan elit politik. Ia memerlukan partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik, termasuk dalam bentuk demokrasi langsung (direct democracy).

Partisipasi belia mula mendapat pengiktirafan terutamanya sejak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, di mana partisipasi menjadi temanya. Sepuluh tahun kemudian, ia mula diiktiraf sebagai mempunyai konotasi politik apabila dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond menggunakan frasa “partisipasi penuh dan aktif dalam membuat keputusan”.

Pada masa yang sama, selaku Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, saya menulis gagasan “penghakupayaan belia” (youth empowerment) yang kemudiannya digunakan dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), Program Belia Komanwel (1998) dan Persidangan Pertama Menteri Belia SeDunia (1998).

Ketika menutup rasmi Forum Belia Ke-3 sempena Persidangan Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 di Kuala Lumpur baru-baru ini, saya menggesa ketua-ketua negara anggota pertubuhan itu supaya melipatgandakan penghakupayaan belia sebagai salah satu pendekatan bagi memperkasa partisipasi belia, termasuk dalam politik.

Pra-syarat bagi kefahaman terhadap partisipasi belia dalam politik ialah dengan mengiktiraf tiga permintaan utama belia, iaitu: belia mahu suaranya didengar, belia mahu peranannya diiktiraf, dan belia mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasi mereka.

Selanjutnya, kita perlu menyelami partisipasi politik belia dalam empat keadaan. Pertama, ialah hubungan belia dan politik yang bersifat multi-dimensi. Apakah keadaan sosial dan politik semasa dan setempat serta pandangan belia terhadap politik?

Di sebalik segala faktor yang membentuk sistem politik sedia ada serta hubungan antara politik dan rakyat, yang lazimnya kita fahami, di sana terdapat faktor-faktor yang spesifik yang mempengaruhi pendekatan belia terhadap politik, yang lazimnya kurang kita fahami. Faktor-faktor itu ada kaitannya dengan status mereka sebagai warganegara dan anggota masyarakat serta kedudukan mereka dalam pusingan kehidupan mereka sendiri.

Belia mempunyai ideal dan pengharapan yang amat kompleks dan berbeza-beza antara seorang dengan yang lain. Sebahagian daripada mereka mempunyai perasaan ketidakpuasan, ketidakperluan dan ketidaklibatan yang sebenarnya mencerminkan kelemahan demokrasi moden dan kegagalan kita mengintegrasikan mereka dalam arus perdana masyarakat dan negara.

Kedua, ialah bentuk, makna dan alasan belia untuk berpartisipasi dalam politik. Apakah caranya belia berpartisipasi dengan aktif dalam politik dan bagaimanakah mereka menilai pelbagai bentuk partisipasi politik?

Persepsi mereka mencerminkan imej politik yang dilihatnya dan pengalaman politik yang pernah dilaluinya. Sebahagian daripada mereka pernah melalui pengalaman parti politik tradisional yang lebih menutup daripada membuka ruang untuk pertukaran dan perkongsian idea serta pembentukan komuniti dan budaya politik yang bersih lagi segar.

Kerana itu, ada di antara mereka yang lebih berminat dengan bentuk partisipasi individu, misalnya komunikasi politik (seperti menggunakan IT) dan protes. Mereka hanya taat terhadap nilai-nilai yang dianutinya sendiri sahaja dan tidak mahu tunduk kepada matlamat dan kaedah mana-mana parti atau organisasi. Self-expression dianggapnya sebagai pilihan partisipasi politik yang paling berkesan.

Ketiga, ialah mengenalpasti bagaimana belia belajar tentang partisipasi politik. Apakah peranan dan keberkesanan ibu bapa, rakan sebaya dan pendidikan formal terhadap partisipasi politiknya?

Sistem pendidikan mempunyai impak yang terbesar jika ia benar-benar memberikan ilmu politik serta peluang berpartisipasi dalam proses demokratik melalui kokurikulum yang mantap. Ini termasuk melalui struktur formal seperti pertubuhan dan gerakan pelajar/mahasiswa dan pilihan raya kampus atau struktur takformal seperti perbincangan dengan guru/pensyarah dan rakan-rakan. Di samping itu, terdapat juga pembelajaran melalui keanggotaan dalam pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Dan keempat, ialah kesaksamaan gender, iaitu dari segi partisipasi belia wanita. Adakah belia wanita mempunyai kefahaman dan amalan politik yang sama atau berbeza daripada belia lelaki?

Kita perlu memantau dan menilai pandangan dan pilihan partisipasi belia wanita yang seimbang dengan belia lelaki. Jurang antara partisipasi belia wanita dengan belia lelaki kelihatan semakin kecil, tetapi, fenomena siling kaca dalam parti politik masih besar.

Kesimpulannya, belia mempunyai imaginasi tersendiri terhadap partisipasinya dalam politik. Cara, corak dan citra politiknya mungkin berbeza dengan kita. Kita perlu menyelami minda mereka bukan sahaja untuk memperbaiki kefahaman kita, tetapi lebih penting lagi ialah untuk menghakupayakan mereka agar dapat mengoptimumkan potensi politik mereka.

DS Najib sudah memberi isyarat perubahan yang serius kepada pemimpin UMNO. Either we change or will be changed. UMNO sudah tidak boleh lagi berada dalam zon selesa sebagai pemerintah. We have lost the two-third, 5 states (but gaining back Perak) during the last year GE and the bizarre fact that the young generation were not with us during the last GE. No honeymoon and let’s go back to work. I mean serious business. 

Saya terpanggil sebagai salah seorang ahli MT UMNO yang baru untuk menggalas tugas menawan semula hati rakyat terutamanya golongan muda. Saya percaya rakan-rakan dalam UMNO dan BN sedang mengatur langkah untuk mencipta perubahan seperti yang telah diikrarkan. Sejak Julai 2008, saya telah memulakan rangkaian sosial maya saya iaitu Facebook yang sudah menjadi fenomena bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Tanyalah kepada siapa saja, pastinya sebahagian besar individu sudah mempunyai facebook mereka sendiri tidak kira apa jua latar atau usia. 6 juta pengundi muda dijangka akan mengundi pada PRU13.

Hari ini saya dapati kebanyakan pemimpin kita sudah mempunyai FB mereka. Pemimpin-pemimpin BN juga tidak terkecuali. Cuma samada FB itu dioperasikan sendiri oleh mereka atau tidak itu soal yang penting juga. Matlamatnya bukan untuk semata-mata pemimpin ada FB. Tetapi pemimpin menggunakan FB sebagai medium interasi dengan rakyat. We are the service provider and they are our boss. 

Jadi saya ambil keputusan untuk mendedikasikan sekurang-kurangnya sejam selang seminggu buat peringkat awal untuk berinteraksi terus dengan kawan-kawan di FB. Jumlah kawan2 di FB pun sudah mencecah 1019 setakat semalam. saya rasa amat sedih tidak dapat menjawab semua emel yang dihantar lantaran kesuntukkan waktu sebelum ini. saya lebih suka berkomunikasi sendiri daripada mewakilkan kepada pegawai-pegawai saya. Jadi, good news untuk semua, I will launch my first FB Hour tomorrow, Tuesday at 8.30-9.30pm. Saya buka peluang kepada semua kaum, semua golongan untuk berinteraksi tentang apajua isu. Harapnya kita dapat mencambahkan idea masing-masing ke arah mewujudkan negara yang sejahtera dan maju.

Semoga inisiatif saya ini akan mendapat sambutan oleh semua. Kita jumpa di ruang maya FB Hour esok.

Saifuddin Abdullah

 

 

Menjelang keputusan MT UMNO – Dato Saifuddin Abdullah dalam analisis awani, 26 Mac 2009.  Pilihanraya ke 13 sudah bermula semalam. Rakyat sudah mula menilai sejauh mana UMNO ini mahu berubah sebagai yang digagaskan oleh  Presiden baru, Dato Seri Najib. Mereka mahu lihat apakah visi Presiden dijelmakan dalam pemilihan kali ini. UMNO tidak hanya perlu menfokuskan soal peralihan kuasa  tetapi peralihan budaya dalam UMNO. UMNO tidak boleh berfikir apa pandangan ahlinya terhadap kepimpinan lagi tetapi apakah persepsi rakyat terhadap kepimpinan! Jika soal ini dipandang sepi, maka kita akan sukar menambat hati rakyat keseluruhannya.

Pada saya, substance parti perlu diisi dengan pemikiran politik. Politik Baru.  Apakah pemikiran ekonomi UMNO? Pemikiran sosial UMNO? Bagaimanakah kedudukan 13 industri strategik negara untuk membantu orang-orang Melayu? Bagaimanakah rm60 billion, pakej rangsangan yang dibentang baru-baru ini disalurkan untuk membantu mereka? Sebab itu saya telah syorkan penubuhan Akademi UMNO untuk menjadi badan pemikir bagi memberi input kepada kepimpinan UMNO dalam membuat dasar-dasar parti.

Kementerian berhasrat untuk menjadikan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai universiti usahawan pertama di Malaysia. Sebagai sebuah universiti usahawan, UniKL perlu memastikan seluruh sistem, kurikulum serta pengajaran dan pembelajarannya menggalakkan mahasiswa untuk menjadi usahawan dan tidak bergantung kepada orang lain. Aspek ini haruslah diterapkan ke dalam kurikulum dan menjadi kokurikulum utama di UniKL. Hasrat murni menjadikan UniKL sebagai universiti keusahawanan adalah berasaskan keyakinan bahawa mahasiswa terutamanya yang berlatarbelakangkan kemahiran memiliki potensi yang tinggi untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Saya menyahut keperluan semasa iaitu kelembapan ekonomi di mana peluang pekerjaan adalah amat terhad. Ia juga bersesuaian dengan saranan Dato’ Seri Najib Tun Razak, bahawa kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan-pendekatan ortodox. Sebaliknya kita harus berani dan inovatif. Meletakkan matlamat menjadi universiti usahawan adalah satu langkah yang berani dan inovatif. Konsep ‘knowledge economy’ (k-Ekonomi) telah dipopularkan, kalaupun tidak diperkenalkan, oleh Peter Drucker, seorang ahli ekonomi tersohor (digelar the Father of Modern Management) dalam bukunya ‘The Age of Discontinuity’. Dalam buku tersebut, beliau meletakkan ilmu sebagai ‘aset atau produk perniagaan’ yang boleh diniagakan dengan nilai pulangan yang cukup tinggi.

Dalam buku tersebut juga, beliau menukilkan perlunya penguasaan teknologi know-how dalam ekonomi masa kini. Malangnya, penggunaan teknologi know-who masih terus menjadi menebal dalam masyarakat kita. Menyedari hakikat ini, UniKL sebagai universiti kemahiran pertama di Malaysia perlu menjadi peneraju dalam melahirkan bukan sahaja ‘skilled workers’ tetapi ‘skilled and knowledgable workers’. Dengan menjadikan ‘where knowledge is applied’ sebagai mottonya, saya percaya bahawa UniKL berpotensi menjadi institusi contoh yang dapat menggabungjalinkan ilmu teori dan praktikal seterusnya melahirkan modal insan yang dihasratkan oleh kerajaan.

UniKL perlu terus melihat ke hadapan dan sentiasa membuat “benchmarking” terhadap universiti-universiti berasaskan kemahiran tersohor di dunia. Sebagai contohnya, dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat telah menjadi universiti kedua terbaik dunia mengikut THES, telah memberi penumpuan terhadap aplikasi ilmu dengan konsep “learning by doing”. Meskipun MIT bukanlah universiti kemahiran sepenuhnya, tetapi kejayaannya melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi perlu dijadikan contoh. Sehingga kini, MIT berjaya melahirkan 52 pemenang anugerah Nobel dan 47 Pemenang Pingat Kebangsaan dalam Sains di Amerika Syarikat. Graduan MIT acapkali berjaya menghasilkan inovasi baru dalam dunia sains, kejuruteraan dan ICT yang memberi impak mendalam kepada dunia.

Sebagai contoh lain, Technical University of Berlin, di Jerman merupakan sebuah universiti kemahiran antara terbaik di Eropah. Mereka juga menawarkan kursus-kursus kemahiran yang hampir sama dengan UniKL. Mereka juga melahirkan ramai saintis, jurutera dan pakar-pakar ICT yang tersohor di dunia dan turut melahirkan 8 orang pemenang Anugerah Nobel dalam bidang sains dan teknologi.

Saya difahamkan UniKL telah siap siaga menyahut hasrat murni ini. Pada tahun lalu, di bawah Program Grooming Big Usahawan UniKL, MECD telah menyalurkan dana berjumlah RM1 juta. Daripada keseluruhan dana tersebut, sejumlah RM813,000 telah diluluskan dan 44 orang pelajar UniKL telah mendapat manfaat dari dana tersebut. Pada hujung tahun lalu juga, MECD telah meluluskan dana tambahan sejumlah RM10 juta dan saya difahamkan dana tersebut akan dilunaskan kepada para pelajar dalam masa terdekat. Saya mencadangkan agar peruntukkan sejumlah RM2 juta daripada jumlah keseluruhan turut disalurkan oleh pihak UniKL kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajarnya agar lebih banyak usahawan-usahawan baru di peringkat akar umbi dapat dilahirkan.

Saya turut difahamkan terdapat 71 buah syarikat ‘enterprise’ dan sendirian berhad yang telah ditubuhkan oleh para pelajar UniKL. Jenis perniagaan tersebut adalah pelbagai dari cyber cafe, dobi, kiosk hinggalah kepada pengurusan majlis, IT, produk musik. Saya mengharapkan agar UniKL akan menjadi perintis dan model universiti usahawan di Malaysia. Untuk tujuan itu, program-program berorientasikan keusahawan perlu diperhebat dengan menggunakan pendekatan baru yang selari dengan keadaan semasa. Saya juga berharap agar di bawah RMK-10 nanti, dana-dana seumpama ini dapat diperluaskan lagi ke IPTA seluruh negara.

Sekian, terima kasih.

Jika ada satu buku yang boleh saya cadangkan kepada umum terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam membuat dasar, saya akan cadangkan buku tulisan seorang Professor dari Michigan University iaitu C.K Prahalad bertajuk “The Fortune at the Bottom of the Pyramid”. Alam bukunya beliau menyebut bahawa kita sering mengganggap orang miskin adalah golongan yang tidak mampu dan perlu diberi bantuan. Justeru atas premis tersebut, kita percaya bahawa dasar memberi “goodies” kepada orang miskin adalah yang terbaik untuk mengatasi isu kemiskinan di Malaysia.

Saya selalu kemukakan contoh yang berlaku di Madurai,India. Bagaimana seorang doktor yang bernama Dr. Govindappa Ventakaswamy, yang membuka hospital mata yang diberi nama “Aravind Eye Hospital” (AEH) berjaya menyediakan perkhidmatan “cataract surgeon” pada harga yang sangat murah. Dalam kadar biasa, sesuatu pembedahan itu akan menelan kos hampir USD2500, tetapi di AEH, kosnya tidak sampai USD300. Sehingga kini, AEH telah membantu lebih 2.4 juta penduduk miskin India. Tetapi ironinya, AEH bukan rumah kebajikan sebaliknya sebuah hospital yang tetap membuat keuntungan!

Mengikut data terkini dari laman web hospital tersebut, AEH telah mempunyai 329 “pesakit bayar” dan 920 “pesakit percuma”. Sayangnya,segelintir kita masih lagi meletakkan harga mengikut mereka yang berkemampuan. Yang miskin, kita berikan goodies! Maka kekallah mereka tidak mampu sampai bila-bila. AEH memperkenalkan satu konsep yang dinamakan “New Price Performance Emblem”.  Mengukur harga pada tahap kemampuan semua golongan, walaupun orang miskin. Mereka juga berhak dianggap penyumbang kepada ekonomi negara, bukannya hanya penerima.

Sebab itu, saya sarankan bidang keusahawanan sosial diterapkan di kalangan mahasiswa dalam kursus keusahawaan di IPT melalui Majlis Keusahawanan Universiti-Universiti Malaysia (MAKMUM). Maksudnya, meletakkan objektif kemaslahatan masyarakat dengan menggunakan strategi keusahawanan. Keusahawanan sosial mungkin sesuatu yang terlalu baru di Malaysia. Tetapi manfaatnya cukup penting kepada rakyat. Saya harap idea ini dapat dibahaskan atau setidak-tidaknya difikirkan!

Saya gembira dengan penubuhan Majlis Masyarakat Sivil di Perak oleh kerajaan Barisan Nasional. Dato Zambri Abdul Kadir telah mengambil langkah yang tepat dalam suasana politik sekarang. Saya berharap rakyat Perak akan sama-sama menjayakan hasrat murni ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak telah mendapat mandat dan perkenan Sultan Perak untuk menubuhkan kerajaan baru mengikut lunas undang-undang yang sah. Apapun situasinya, adalah penting untuk kerajaan BN Perak menginsafi kedudukannya yang begitu “fragile” kini. Dengan jumlah kerusi yang sama dengan Pakatan Rakyat dan hanya dibezakan dengan sokongan tiga ADUN Bebas, BN Perak menggalas tugas yang amat berat. BN Perak sudah memenangi majoriti sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun, pada saya, apa yang lebih penting sekarang adalah untuk memenangi Dewan Hati Rakyat.

Sebelum itu, Majlis Tertinggi UMNO perlu merumuskan status ahli DUN BN yang telah melompat semula ke dalam parti. Ini adalah soal integriti seorang ahli politik. Kajian telah menunjukkan betapa pengundi menilai calon dari aspek 60% pada integritinya dan 40% pada parti yang diwakilinya. Sekiranya rumusan ini tidak dibuat, ramai yang bakal mempersoalkan integriti parti. Ada yang akan mendakwa, mereka yang digantung atau dibuang parti, tidaklah melakukan “dosa” yang terlalu berat, sedangkan yang melompat diterima dengan mudah tanpa sebarang hukuman.

Kerajaan BN telah membuat keputusan yang tepat apabila melantik YB Datuk Dr Zambri Abdul Kadir sebagai MB Perak yang baru. Beliau adalah seorang ilmuan dan saya yakin dengan keupayaan beliau meneraju kerajaan negeri Perak. Kerajaan BN Perak tidak boleh melakukan dasar yang bersifat incremental atau peacemeal lagi tetapi satu lompatan saujana dari segi dasar.

Sekiranya saya diberi peluang mencadangkan perubahan yang boleh dibuat oleh MB Perak yang baru, saya ingin melihat beliau melaksanakan kerangka governans baru. Saya cadangkan Datuk Dr Zambri mewujudkan Jawatankuasa yang terdiri dari masyarakat sivil dan sektor perniagaan di bawah Dewan Undangan Negeri. Kita perlu sedar bahawa kekadang rakyat itu lebih arif dari orang politik. Orang politik itu kebetulannya terpilih dan menang pilihanraya. Inilah masanya untuk kita buktikan BN sentiasa menghormati pandangan rakyat. Janganlah ahli-ahli PBT itu hanya didominasi oleh orang-orang politik sahaja. Ini penting untuk memikat hati rakyat Perak.

Saifuddin Abdullah

Disember 2016
M T W T F S S
« Jul    
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Gambar

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

Syarahan Akademi Belia Anjuran Akademi Belia

Syarahan Akademi Belia Anjuran Akademi Belia

More Photos