Saifuddin Abdullah

Debat terbuka buktikan UMNO serius dengan perubahan

Posted on: November 8, 2008

Saya menyokong cadangan diadakan debat terbuka dalam pemilihan Majlis Tertinggi (MT) UMNO kali ini. Ia wahana pencetusan dan pertahanan idea yang bernas dan cerdas. Saya juga sedia berdebat dengan mana-mana calon MT.

Tetapi, terdapat mereka yang menentang cadangan ini. Di sini, saya senaraikan 10 alasannya dan menjawabnya satu persatu.

Alasan 1: Tiada apa hendak didebatkan.

Jawapan 1: Takkanlah pemimpin UMNO tiada idea. Banyak perlu didebatkan. Contohnya, apakah politik baru yang perlu dilaksanakan UMNO untuk mengemudi politik negara pada depan?

Contoh kedua, perlukah ditubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Negara Ketiga (MAPEN 3) untuk merancang kerangka konseptual pertumbuhan ekonomi yang bakal digubal dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh; apakah agenda utamanya; dan perlukah ditubuhkan Panel Penasihat Ekonomi Negara yang bersifat konstruktif bagi menggantikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang bersifat reaktif itu?

Dan contoh ketiga, perlukah diadakan Pelan Tindakan Pembangunan Sosial yang benar-benar bersepadu bagi mengukuhkan Dasar Sosial Negara yang ada kini?

Saya sendiri ingin mengemukakan idea dalam sekurang-kurangnya enam bidang, iaitu pendidikan dan latihan, kesihatan dan kecergasan, pekerjaan dan ekonomi, jati diri dan sosio-budaya, partisipasi dan masyarakat sivil serta prasarana dan kemudahan awam. Saya yakin calon-calon MT yang lain juga mempunyai idea-idea yang ingin dikemukakan.

Alasan 2: Tidak perlu debat, ucapan mencukupi.

Jawapan 2: Semua orang boleh berucap. Adakalanya, ucapan disediakan orang lain dan yang menyampaikannya tidak faham apa yang diucapkanpun. Kekurangan ucapan ialah idea itu tidak diuji kebenaran dan kekuatannya. Sebaliknya, dengan debat, pendebat bukan sahaja perlu mampu menyampaikannya, tetapi lebih penting lagi, perlu mampu mempertahankannya.

Alasan 3: Ia mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Jawapan 3: Apakah kriteria yang mengukur keburukan dan kebaikan itu? Tradisi Islam menunjukkan kebaikan debat. Ayat 125 Surah al-Nahl menggariskan tiga rukun dakwah, iaitu, pertama: “dengan bijaksana”, kedua: “dengan pengajaran yang baik”; dan ketiga: “berhujahlah (berdebatlah) dengan cara yang terbaik”.

Begitu juga halnya dengan tradisi ilmu. Socrates memprovokasi pelajar-pelajarnya dengan soalan kritikal sehingga mencetuskan perdebatan. Kaedah ini dikenali sebagai “Soalan Socrates” dan adalah asas kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang digunakan dalam bilik darjah hari ini.

Keburukan hanya timbul jika emosional semasa berdebat. Takkanlah pemimpin UMNO begitu.

Di samping itu, bukankah debat terbuka jauh lebih baik daripada politik wang yang tertutup itu?

Alasan 4: Ia menyebabkan pembangkang memanipulasi masalah dalaman UMNO yang diutarakan dalam debat terbuka.

Jawapan 4: Pertama, siapa suruh mendebatkan masalah dalaman UMNO? Kedua, kerja pembangkang ialah memanipulasi UMNO, tidak kira diadakan debat terbuka ataupun tidak. Ketiga, selama ini, UMNO tidak pernah mengadakan debat terbuka, tetapi orang luar tahu juga masalah dalamannya. Keempat, debat terbuka memulihkan persepsi umum yang melabel UMNO sebagai kotor. Dan kelima, debat terbuka adalah persediaan terbaik bagi pemimpin UMNO berdebat dengan pembangkang.

Alasan 5: Ia perlu diadakan secara tertutup sebab ini pemilihan dalaman UMNO.

Jawapan 5: Ia perlu diadakan secara terbuka kerana UMNO adalah parti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan majoriti anggota Kabinet. Rakyat adalah pihak berkepentingan (stakeholders) yang berhak mengetahui kualiti calon yang bakal dipilih UMNO. Ini peluang terbaik bagi UMNO menunjukkan betapa ia serius memilih pemimpin yang berkualiti untuk seterusnya ditawarkan sebagai pemimpin negara.

UMNO sepatutnya mempelopori budaya politik baru dan segar, iaitu politik ilmu, dan mencipta sejarah sebagai parti pertama di negara ini yang menganjurkan debat terbuka. Kalau tidak, dan kalau ada parti lain yang memulakannya, maka, UMNO terlepas peluang keemasan yang datang hanya sekali ini.

Alasan 6: Tidak perlu ikut format debat pemilihan Presiden Amerika Syarikat.

Jawapan 6: Siapa kata ia mesti format tersebut? Terdapat banyak format debat. UMNO boleh tentukan formatnya yang tersendiri.

Alasan 7: Rakyat belum bersedia.

Jawapan 7: Rakyat telah lama bersedia. Rakyat telah lama inginkan keterbukaan dan ketelusan. Rakyat telah lama inginkan pemimpin yang berilmu dan artikulatif, yang punya pendirian dan pandangan, dan bukannya pemimpin yang sekadar pandai mengampu dan meraih undi semata-mata. Persoalannya ialah adakah pemimpin UMNO telah bersedia?

Alasan 8: Tidak sesuai diadakan debat terbuka memandangkan masyarakat kita berbilang kaum. Takut timbul isu sensitif.

Jawapan 8: Selama ini, persepsi rakyat ialah parti-parti komponen BN adalah ibarat beberapa orang yang tidur sebantal tapi mimpi lain-lain, kerana apabila berada di kalangan ahli partinya sahaja, maka, mereka berbincang perkara-perkara yang amat sensitif yang tidak boleh didengar oleh ahli dari parti yang lain. Debat terbuka boleh mengikis persepsi itu. Lagipun, idea yang disampaikan dengan bijaksana tidak mungkin sensitif.

Alasan 9: Debat terbuka bukanlah jawapan kepada masalah UMNO. Apa yang penting ialah usaha memperkukuhkan parti.

Jawapan 9: Memanglah jawapannya bukan debat terbuka sahaja. Tetapi ibarat soalan matematik yang panjang, debat terbuka adalah antara jalan kira untuk mendapat jawapannya. Alasan di atas janggal kerana membuat perbandingan antara dua perkara yang tidak sepadan, iaitu debat terbuka dan memperkukuh parti. Ia tak ubah seperti membandingkan epal dengan kentang. Debat adalah cara manakala memperkukuhkan parti adalah matlamat.

Tetapi, debat terbuka adalah satu daripada kaedah bagi mencapai matlamat memperkukuhkan parti. Ini kerana proses pemilihan parti adalah sebahagian daripada pelan pengukuhan itu. Jika proses pemilihan terus dipertikaikan kewibawaannya, maka amat sukar untuk rakyat mengiktiraf kredibiliti calon yang menang. Sebaliknya, debat terbuka akan menyuntik keyakinan baru di kalangan rakyat tentang kredibiliti calon yang dipilih.

Alasan 10: UMNO perlukan pemimpin yang pandai bekerja dan bukannya hanya pandai berdebat.

Jawapan 10: Siapa kata kita hendakkan pemimpin yang hanya pandai berdebat sahaja? Adakah pemimpin yang pandai berdebat terbukti tidak pandai bekerja? Adakah pemimpin yang tidak pandai berdebat semestinya pandai bekerja? Pandangan ini adalah pelarian (escapisme) dari realiti bahawa antara kualiti pemimpin yang baik itu adalah kepetahan berhujah. Bukankah lebih baik jika UMNO memiliki pemimpin yang pandai berhujah dan pada masa yang sama juga pandai bekerja?

Sebenarnya, pemimpin UMNO sedang mengadakan debat terbuka tentang polemik ini. Rakyat sedang menilainya. Bagi sebahagian daripada kita, perkara ini mungkin kecil. Tetapi, bagi sebahagian rakyat, perkara ini memberi makna besar dalam perjuangan mematangkan demokrasi kita.

11 Respons to "Debat terbuka buktikan UMNO serius dengan perubahan"

Salam Datuk, cadangan Datuk ini sangat cocok untuk memajukan politik Malaysia tapi bukan untuk poltik UMNO.Orang UMNO tak paham cara ilmiah begini Datuk.mereka lebih suka bincang macam mana mahu perkukuh jentera kempen dari perkukuh misi kempen.at the end of the day Datuk,idea sebegini hanya akan dipandang sepi. Lihat saja statement orang2 besar UMNO pasal debat ni.semuanya menolak atas rasional yang 10 yang Datuk dah senaraikan. Saya ucapkan syabas pada Datuk dan harap jangan pasrah dengan orang2 UMNO yang nampaknya tak belajar daripada election lepas.

apa debat-debat dato..orang UMNO takkan kenyang dengan Debat.mereka mahu wang untuk kenyangkan perut.saya sarankan diadakan dpertandingan main saham secara terbuka.mesti orang UMNO sokong.

Salam Datuk,

Pandangan Datuk mengenai debat sepetimana yang dicadangkan oleh KJ baru-baru ini itu, memang boleh diterima pakai.
Tetapi persoalannya kenapa cadangan itu tidak wujud sebelum pemilihan cawangan dan bahagian, dan kenapa ia `bising’ bila pencadang itu mendapat pencalonan yang mencukupi.
Lagipun Datuk, penentu kepada pemenang semasa pemilihan agung UMNO Mac (mungkin Dis ini) adalah bergantung sepenuhnya kepada kumpulan G7 dan bukannya seperti pilihan raya umum.
Persoalannya, adakah G7 itu mengikut kehendak akar umbi dan mandat yang diputuskan oleh bahagian atau untuk perut mereka ?
Tun M sendiri pun pernah mengutarakan pandangan bahawa jumlah pencalonan yang diterima tidak mengambarkan keadaan sebenarnya.
Jadi, jika debat itu diadakan dan majoriti calon yang mendapatkan pencalonan yang tertinggi, tewas pada pemilihan bulan Mac….saya rasa debat itu satu pembaziran masa dan tenaga.
TQ

salam dato dan family .. tahniah melepasi pencalonan MT.
Semoga berjaya memperolehi undian tertinggi utk MT nanti.
Politik baru pemikiran baru perlu wujud utk memastikan umno itu terus relevan. Trend pengundi kini bukan lagi kpd kesetiaan kpd parti tetapi keupayaan sesuatu parti tersebut utk membangunkan negara dr semua segi.
Politik wang akan mhancurkan sesuatu parti dan negara ini. Golongan yg rakus ini perlu disingkirkan.. Masalahnya sesiapa yg menerima habuan ini takkan melaporkannya.

Semoga dato tabah dan teruskan usaha demi agama bangsa dan negara..

satu pandangan yang baik. saya setuju.

Assalamualaikum dan salam sejahtera Dato’.

Saya telah meletakkan blog Dato’ di blog saya:

Himpunan Blog Pahang

http://bloggerpahang.blogspot.com/

Harap Dato’ tidak kisah.

salam dato…met you yesterday at GEW launch. I am representing the bumi technoprenuers(NEF)…I must say i was inspired by your approach in handling things as we were talking after the event. it is that inspiration that caused me to look you up on the net..and i must say i am truly impressed and comforted that there is still such a leader with calibre in UMNO….i salute you sir and look forward to work with you in making changes for the better!

jgn hanya berdebat, tapi slmtkan rakyat terpinggir

debat terbuka perlu untuk membudayakan budaya berhujah dan menguangkan budaya melatah. kita perlu memwujudkan suasana yang kondusif dan menggalakkan perbahasan secara ilhiam dan mengikis serta menapis bahasa…masalah kita ialah kita lebih cenderung mengunakan bahasa beremosi dan cepat melatah tanpa segan-silu karenah kebudakan kita.
Saya amat kesal melihat masyarakat kita menjerumus ke bawah dan biasa ‘hit below the belt’ tanpa menepati subjek dan isu yang dibahaskan. kita mencelaru ke perkauman, keagamaan , budaya , bahasa dsbgnya secara kebudak-budakan. Itulah hakikat bentukbumi politik tanahair kini…
sedih kan?

yup. dengan debat rakyat kenal pemimpin. bravo yb. teruskan berdebat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

November 2008
M T W T F S S
« Sep   Dec »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930

Gambar

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

PWTC UMNO 09

Syarahan Akademi Belia Anjuran Akademi Belia

Syarahan Akademi Belia Anjuran Akademi Belia

More Photos
%d bloggers like this: